Sebanyak 10 lebuh raya disenaraikan dalam kedudukan berprestasi baik berdasarkan jumlah kemalangan maut dan kecederaan parah dilaporkan di situ.
Lebuh raya-lebuh raya tersebut dibahagikan kepada dua kategori iaitu jenis sistem tol tertutup dan sistem tol terbuka.
Menurut Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Ir. Dr. Khairil Anwar Abu Kassim, langkah menyenaraikan lebuh-lebuh raya tersebut membolehkan pengguna lebih peka terhadap risiko keselamatan masing-masing.
“Selain itu, ketetapan kedudukan ini diharap dapat mewujudkan persaingan sihat dikalangan konsesi lebuh raya untuk memperbaiki mutu jalan raya di bawah seliaan mereka dari semasa ke semasa.
“Bagi menyenaraikan lebuh raya mengikut kedudukan terbaik, mata kedudukan akan dijumlahkan untuk setiap lebuh raya berdasarkan pemberat sebanyak 70 peratus untuk indeks kematian dan 30 peratus untuk peratusan segmen jalan yang bertaraf tiga bintang dan ke atas,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Dalam perkembangan sama, Khairil Anwar berkata, langkah itu selaras dengan usaha mengurangkan kadar kemalangan maut dan kecederaan parah di lebuh raya.
“Memandangkan statistik kemalangan dan keadaan sedia ada persekitaran jalan akan berubah dari masa ke masa, penetapan kedudukan lebuh raya berprestasi baik ini akan dilakukan secara berkala,” katanya.
Lima lebuh raya jenis sistem tol tertutup berprestasi baik:
1. Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS)
2. Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE)
3. Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS)
4. Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT 1)
5. Lebuhraya Lembah Kelang Selatan (SKVE)
Lima lebuh raya jenis sistem tol terbuka berprestasi baik:
1. Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) (LITRAK)
2. Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT)
3. Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (JSAHMS)
4. Lebuhraya Sistem Lingkaran Kajang (SILK)
5. Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA)