Sempena perayaan Tahun Baru Cina tahun ini, lebuh raya dibawah Gamuda telah bekerjasama menganjurkan program amal komuniti di Rumah Sejahtera Jenjarom, Selangor.
Rumah Jagaan ini mempunyai 17 orang warga emas, yang berumur antara 60 sehingga 93 tahun. Antara mereka, ada yang mempunyai masalah kesihatan dan memerlukan penjagaan yang teliti dan rapi. Rumah yang penuh sejarah ini telah ditubuhkan pada tahun 1958. Rumah ini dirasmikan oleh bekas Menteri Besar Selangor, Tuan Muhammad Ismail bin Abdul Latiff. Memandangkan ianya telah beroperasi lebih 62 tahun, keadaan rumah ini agak daif dan memerlukan bantuan. Justeru, keempat-empat konsesi telah bekerja keras sepanjang program amal ini untuk menyediakan kemudahan yang terbaik dan selesa.
Sepanjang tempoh program amal ini, kami telah membantu dengan kerja-kerja pembersihan sekitar kawasan rumah, mengemas ruang makan, mandi dan tidur, membaiki peralatan rumah yang rosak, kerja-kerja ubahsuai rumah termasuk sumbangan perabot baru seperti kabinet dapur, rangka katil dan sebagainya. Kami juga turut menghias rumah ini dengan dekorasi budaya cina, dan kami harap ianya sedikit sebanyak dapat menaikkan semangat mereka untuk perayaan Tahun Baru Cina yang akan datang.
Untuk sumbangan, orang ramai boleh hubungi pejabat pentadbiran rumah tersebut (03-3187 1468) atau penjaga, En Vijay (016-928 9665).